Isnin, 12 Mac 2012

Bunga Luka DI Taman Hati

Rakaman-rakaman anak gadisku Hanan Harith.
                                              Rakaman Nikon D90 dari taman kecil di rumah kami


Apabila Siti Hanan tersenyum …
Rasa bahagia menjalar jauh ke sanubari
Sanubariku dan sanubarimu tiada pemisah dan tiada tembok halangan
Meski empat musim dikau terpinggir sendiri membiar masa berlalu lari
Ibu mu masih sedia setia di sisi
Meski gundah rasa dan resah gelisah jiwa hanya kita yang menjiwai iramanya
Ia bukan rundungan malang yang mengurai ikatan kasih kita anakku.



Apabila Siti Hanan tersenyum …
Ria suka menusuk dalam ke jantung hati
Hatiku dan hatimu menjahit robek jiwa sukma yang lama bernestapa
Lara luka menitis di mata tidak tampak sebagai tanda duka itu sengsara
Getirku sukar dibaca luluhku tidak tersua sunyi sepi mengusirkan diri
Biar remuk dek nista hina kerana darjat masih diambil kira tiada jaya hidup tak sempurna
Ia kita lambai menyambut hangat dakap erat Kasih A-Rabb dek lamaran pada sabar jiwa raga.




Apabila Siti Hanan tersenyum …
Tiada ada undangan buat petualang andai mahunya adalah tukaran atas tawaran rasa
Tidak akan ada keruh yang terbit sesudah jernih membuka laluan rasa
Tiada daya yang menebalkan resah bila titip sesal itu cuma anjuran rasa
Miskin harta kita tidak miskin kudrat masih berupaya tenaga dek kaya rasa
Kuaklah kegelutan terluka saat sebelum jiwa bertemu ajal sebelum lumpuh indera berasa.